Aku telah lama dimomokkan dgn perkataan "ISTIDRAJ". Dah bertahun, malah aku arif sgt dgn contoh2 istidraj, sbb kadang2 aku slalu fikir yg aku ne tidak terkecuali dari ujian Istidraj dr ALLAH SWT. Namun perkataan ini tidak popular sehinggalah drama bersiri ISTIDRAJ CINTA menerusi slot Samarinda bermula 11 Disember 2013 keudara. Aku terpanggil untuk menghuraikan makna istidraj di sini sebagai peringatan untuk diriku.
Maksud Istidraj
Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang
mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s. a. w. bersabda :”Apabila kamu melihat
bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah
bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh
At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat
yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang
kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat
mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat
kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw
dan berpegang teguh pada agama Islam.
Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu
sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan
sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka
biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur
hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta
mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya,
apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk
neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak
sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di
muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi
Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan
ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.
Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan. Walaupun
berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada
orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli,
sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun,
rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam
aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang
banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.
Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila Allah menghendaki
untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya”
(Kitab Nasaibul’Ibad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam
di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak
membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai
pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba
melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan
Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah
sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang
lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum
mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan.
Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.
Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar
pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya
disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.
Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci
gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia
ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau
kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.
Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka
terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir
kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang
diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya
adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa
keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid
dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj.
Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk
kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita
tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan
kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.
Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.
Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat
menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah
apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan
dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah
kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila
tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di
dunia dan akhirat.
Ya ALLAH, ya Tuhanku. Aku bermohon kepadaMU "Jauhkan lah Aku, kaum keluargaku & Sahabat2ku dari bencana ISTIDRAJ. Andaikata kami tersasar dari jalanMU, berikanlah kami peringatan dengan sebaik2 cara. Janganlah kau ISTIDRAJ kami. Amin2 Ya Rabbal 'Alamin"
1 comment:
Amin Ya Rabbal 'alamin..semoga kita sentiasa di bawah lindungan & rahmat Allah..
Post a Comment